Rencana

Gejala Bunuh Diri


MENGAMBIL nyawa sendiri atau bunuh diri adalah tindakan yang salah dalam agama Islam dan juga agama-agama lain. Masalah remaja bunuh diri adalah gejala yang berlaku dalam masyarakat kita tetapi sukar difahami mengapa. Angkanya meningkat tetapi tidak pula dikongsi.
Untuk mencegah gejala ini dalam kalangan remaja, kita perlu memahami pengaruhnya dalam tingkah laku remaja yang ingin bunuh diri yang mungkin terdiri daripada kehidupan keluarga dalam kepesatan budaya teknologikal, perasaan disisihkan daripada tanggungjawab dewasa, atau ketiadaan kemahiran mengurus hubungan interpersonal. Ini antara sebab yang menyumbang kepada gejala ini.
Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), gejala bunuh diri adalah punca kematian yang ketiga tertinggi dalam kalangan remaja. Ia dijangka meningkat jika tidak dibendung awal.
Negara seperti Jepun turut mengalami fenomena ini terutama kalangan remaja mereka. Malah, tidak mustahil akan berlaku di Malaysia dan sudah pun ada tetapi masih kecil bilangannya.
Adakah amalan agama yang cetek yang mendorong remaja Islam kita terjebak dalam gejala bunuh diri ini?

Faktor dan ciri-ciri
Kebanyakan remaja daripada budaya dan agama mana pun suka kepada kehidupan mereka, rasa gembira sepanjang masa dan gemar membina jaringan sosial. Mereka mempunyai fikiran positif mengenai perkembangan dan masa depan.
Dalam kepantasan perubahan ini sesetengahnya dapat menyesuaikan diri dan mengalami suasana yang menggembira dan menyeronokkan.
Namun, ada yang tidak berkongsi keseronokan proses keremajaan dan berhadapan dengan penuh ketegangan, kesunyian dan kesedihan.
Mereka datang daripada keluarga bermasalah, masalah kemiskinan, tempat tinggal yang kurang memuaskan dan juga kelemahan personaliti kendiri.

Bagaimana Remaja Boleh terjebak dengan Penyalahgunaan Dadah



Peranan golongan remaja tidak dinafikan kerana mereka merupakan waris yang akan menentukan hala tuju masa depan. Mereka mempunyai pengaruh besar  terhadap keadaan sosial, politik dan ekonomi. Merekalah yang akan memegang tampuk pentadbiran,  penggerak ekonomi dan pembangun generasi. 
Namun dalam pada itu kita tidak putus-putus dibebani dengan masalah sosial remaja yang semakin hari semakin meruncing.  Masyarakat dikejutkan dengan pelbagai paparan secara terbuka baik di media elektronik, media cetak mahupun di Internet.  Masalah sosial, keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin  amat membimbangkan kerana ia turut mengundang pelbagai implikasi yang boleh meruntuhkan kestabilan negara dalam usaha melahirkan masyarakat produktif dan berdaya maju. 
Sebelum ini kita dikejutkan dengan masalah bohsia, bohjan, pelacuran dan seks bebas dan penyalahgunaan dadah.  Masalah menjadi lebih gawat apabila kita dikejutkan  dengan tindakan ganas pelajar sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan serius kepada si mangsa. Isu ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam merungkai punca keadaan itu.
Anak-anak, khasnya remaja pada abad ke-21 ini terdedah dengan pelbagai bentuk pengaruh.  Dalam dunia yang disebut sebagai"borderless world" ini banyak menyuntik unsur-unsur yang positif mahu pun yang negatif.  Anak-anak lebih mudah tertawan dengan program yang membunuh sahsiah berbanding program yang menghidupkan peribadinya (Hassan Mohd Ali,1977)
Secara tidak langsung, ini memberi tamparan yang hebat kepada ibu bapa. Ibu bapa harus dapat membimbing individu mengenali diri sendiri sebagai insan dalam alam sosial. 
Masalah berkaitan sosial remaja banyak berpunca daripada hubungan antara ibu bapa dengan remaja itu sendiri.  Sejumlah besar remaja menyalahkan ibu bapa.   Sebagaimana petikan akhbar berjudul "Ayah Sibuk, Remaja Liar" Harian Metro, 1 Ogos 2001, "Keluarga Terbiar, Remaja Jadi Liar"  Harian Metro, 6 September 2001 dan  "Jenayah Rogol Juvana Salah Siapa?" Utusan Malaysia, 23 Julai 2001. Kesibukan urusan kerja menyebabkan kekurangan agihan masa.  Kasih sayang  yang mereka harapkan diganti dengan kemewahan dan wang ringgit. 
Ibu bapa pula menafikan kenyataan ini dan menyalahkan pihak lain sama ada disebabkan faktor ego dengan kedudukan mereka atau persepsi mereka terhadap golongan remaja yang dikatogerikan sebagai golongan yang masih mentah.
Bagaimanapun tugas tersebut nampaknya telah diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah atau pihak sekolah.  Dengan berbuat demikian mereka berharap akhlak, personaliti dan kendiri anak mereka dapat dibentuk sebaik mungkin. Akibatnya , mereka mengundang gejala sosial di kalangan remaja. 

"Mencegah lebih baik dari mengubati" .  Justeru itu institusi keluarga memainkan peranan yang lebih penting sebelum kita mengkaji dari aspek yang lebih luas seperti institusi pendidikan atau masyarakat. 
Masalah ini dapat diselesaikan seandainya ibu bapa memberikan perhatian rapi kepada anak-anak sejak mereka kecil dan sentiasa  sedia berkongsi masalah dengan mereka. Ibu bapa seharusnya menjadi kawan kepada anak mereka sendiri di samping menimbulkan persekitaran kekeluargaan dan teknik keibubapaan yang sihat serta cemerlang.  Kekeliruan perasaan, tidak dihargai dan terasing dalam keluarga sendiri lantaran kesibukan ibu bapa antara punca lain mendorong remaja melakukan kegiatan jenayah. 
Dalam masa yang sama ibu bapa harus bersikap tegas dalam mendidik anak-anak.  Komunikasi dua hala yang sihat  akan membantu anak meluahkan masalah mereka.  Ibu bapa perlu belajar  menyelami dan memenangi jiwa anak supaya anak remaja yang biasanya bersikap egosentrik dapat dilembutkan.  Ibu bapa perlu menjadi model terbaik kepada anak-anak. 
Pendidikan merupakan asas mobiliti sosial.  Namun, visi dan cita-cita yang luhur ini tidak akan tercapai seandainya masalah disiplin di kalangan pelajar tidak dapat dibendung. Setiap remaja perlu didekati supaya mereka menghayati keunggulan disiplin.  Keunggulan ini dapat dipraktikkan melalui kerjasama semua pihak baik pentadbir sekolah , guru disiplin, kaunselor, dan ibu bapa pelajar.  Secara tidak langsung masalah sosial yang semakin meningkat peratusnya dapat dikurangkan.
Pendidikan berperanan penting dalam perkembangan setiap individu.  Formula dan strategi pendidikan yang sesuai perlu dicipta bagi menghasilkan generasi yang berwibawa dan mampu bersaing dalam konteks globalisasi didorong oleh mekanisme sains dan teknologi. 
Pihak-pihak tertentu seperti kerajaan, persatuan belia. masyarakat setempat mula merangka program dan aktiviti-aktiviti untuk golongan remaja mengisi masa lapang mereka, sama ada kegiatan berbentuk setempat atau menerusi Gaya Hidup Rakan Muda.  Kerajaan menerusi kementerian Belia dan Sukan mengambil langkah segera memperluaskan program berkenaan. 
Kesimpulannya, sama ada disedari atau tidak kebanyakan masalah yang melanda remaja masa kini adalah disebabkan oleh tekanan serta permasalahan yang wujud di dalam alam persekitaran.  Misalnya, pembangunan yang terlalu pesat telah mengubah cara hidup masyarakat kita. Manusia menjadi semakin individualistik dan materialistik.  Lantaran itu, keseimbangan sosial harus dipulihkan semula.  Jika ini dapat dilakukan maka perhubungan kekeluargaan serta anggota masyarakat dapat diperteguhkan.  Apa yang lebih penting setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab sosial tidak terkecuali remaja terutama dalam kita merealisasikan 'masyarakat madani' menjadi sebuah realiti dan bukan satu ilusi yang kosong.  Ini hanya dapat dijayakan dengan menyelamatkan golongan remaja daripada terjerumus ke lembah yang tidak diingini